
Jika anda perlu meneka di mana universiti tertua yang masih wujud di bumi ini, apakah negara atau kawasan pertama yang terlintas di fikiran anda?
Ramai akan meneka universiti terawal adalah bermula di Asia Selatan, China, Afrika Barat, mungkin Eropah seperti Universiti Oxford yang gah tersebut?
Namun, jika itulah tekaan anda, anda salah.
Universiti Al – Qarawiyyin (Al Karouine) ditubuhkan pada 859 Masihi atau kira- kira 1,166 Tahun yang lalu di Fez, Maghribi.
Universiti yang masih beroperasi tertua di dunia, menurut UNESCO, adalah Universiti Al-Qarawiyyin (Al-Karaouine) yang terletak di Fez, Maghribi. Ia ditubuhkan pada tahun 859 Masihi oleh Fatima Al-Fihri, seorang wanita yang keluarganya berhijrah ke Fez dari bandar Kairouan, yang kini dikenali sebagai Tunisia. Nama tempat kelahiran asal pengasas tersebut telah dijadikan sebagai nama universiti yang diasaskannya.
Latarbelakang Pengasas
Pada tahun 800 Masihi, seorang kanak- kanak perempuan lahir di Kota Kairouan (nama sekarang adalah negara Tunisia). Kanak- kanak perempuan tersbut dinamakan sebagai Fatima al- Fihri lahir dalam sebuah keluarga pedagang berjaya yang kaya raya namun amat menyanjung tinggi keilmuan. Beliau adalah pengasas universiti ini.
Kehidupan masa kecil gadis tersebut dikelilingi dengan manuskrip- manuskrip serta kitab- kitab agama. Membesar dalam persekitaran ilmu menjadikan kecintaan terhadap ilmu semakin tinggi.
Ketika di usia remaja, beliau mengikuti keluarga beliau berpindah ke kawasan yang lebih maju dan makmur ketika itu sementelah ayahnya adalah seorang pedagang. Kawasan kediaman baru yang menjadi pilihan keluarganya tidak lain tidak bukan adalah kota Fez di Maghribi.
Kota Fez adalah terletak di antara laluan penting dagangan ketika itu. Lokasi strategiknya menjadikan kota ini dikunjungi oleh pelbagai pedagang dari seluruh dunia serta tidak terkecuali ahli ilmuan atau sarjana- sarjana.
Kesempatan yang ada ini diambil oleh Fatima al- Fihri bersama- sama saudaranya Mariam dalam mempelajari ilmu baharu serta mendalami ilmu Arimetik, Geografi, Sejarah serta tidak ketinggalan ilmu Falsafah.
Namun, tidak lama selepas itu ayah mereka meninggal dan meninggalkan Fatima serta saudaranya Mariam dengan harta peninggalan yang banyak. Walaupun begitu, mereka yang dididik dengan baik oleh ayah mereka sebelum ini lebih menyintai keilmuan daripada hidup dalam kemewahan.
Detik Penubuhan Universiti
Minat mendalam terhadap ilmu serta menyedari peluang terbuka luas bagi mendapatkan ilmu daripada ilmuan/ sarjana yang datang berkunjung di Fez membuka ilham kepada Fatima untuk membuka pusat berkumpul bagi sarjana seluruh dunia di situ. Bermulalah detik sejarah penubuhan universiti pertama di dunia oleh seorang wanita dan beragama Islam pada tahun 859 Masihi serta diiktiraf oleh UNESCO dan Guinness World Records sebagai institusi pendidikan tertua yang masih berfungsi.

Bermulanya daripada pusat berkumpul sarjana di masjid Fez ketika itu, pusat ini berkembang dengan cepat pembinaan fasiliti yang lain dengan kemudahan belajar sistematik serta kurikulum pertama di dunia diperkenalkan.
Universiti Pertama di Dunia diasaskan oleh seorang Wanita beragama Islam.
Memandangkan beliau adalah seorang Muslim, beliau membawa konsep waqaf bagi kelansungan operasi universiti tersebut yang semakin hari ketika itu semakin pesat membangun. Konsep waqaf tersebut bermakna sumbangan yang berterusan daripada mana- mana perusahaan atau perniagaan sehingga bila- bila. Konsep waqaf yang dibawa oleh beliau untuk kemajuan universiti tersebut menjadikan universiti terus maju dan kekal sehingga sekarang.
Konsep Waqaf memainkan peranan penting sebagai sumbangan berterusan kepada institusi juga masyarakat.


Ilmuan/ Alumni Universiti
Oleh kerana universiti ini adalah tertua di dunia, sudah pasti ramai ilmuan serta sarjana yang telah lahir di sini. Antara segelintir mereka adalah:
a. Ibn Khaldun: diiktiraf sebagai Bapa Sosiologi, Sejarawan dan Ahli Ekonomi.
b. Maimonides: dikenali sebagai pemikir Yahudi, ahli astronomi serta perundangan.
c. Pope Sylvester II : Pope pertama Perancis, dihargai sumbangannya membawa serta memperkenalkan sistem decimal serta abacus ke Eropah yang dipelajarinya di universiti ini.
d. Al- Idrisi: Ahli Geografi serta Cartographer yang telah memperincikan peta dunia serta sempadan kawasan di dunia yang diiktiraf oleh King Roger II of Sicily.
e. Ibn Rusyd: ahli falsafah, ahli teologi, astronomi, ahli fizik, psikologis, ahli matematik, ahli liguistik serta ahli perundangan Syariah Islam.
f. dan ramai lagi alumni universiti ini.